BESUT: Lazimnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, pekarangan rumah keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman di Kampung Gong Pasir di sini, disinari cahaya pelita dan bauan minyak tanah, namun kini keadaan berubah setelah ketiadaannya.
Nurly Sahirah adalah salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, Perak, Jun tahun lalu.
Bapanya, Azman Mohamad, 64, berkata, kebiasaannya 15 hari sebelum raya, Nurly Sahirah adalah anaknya yang paling sibuk memacak kayu dan mencari pelita untuk dipasang di sekeliling rumah, tetapi untuk tahun ini dia dan isterinya Kamariah Abdul Latif, 61, tidak mempunyai kekuatan untuk mengambil alih tugas berkenaan.
“Kerja-kerja berkaitan pelita ini adalah tugas Allahyarham dan kebiasaan kakaknya mengirimkan wang ringgit bagi membeli persiapan tersebut.
“Baru-baru ini saya terlihat dua botol minyak tanah yang dibelikan kakaknya, seolah-olah terbayang di mata melihat Nurly Sahirah sedang menyiapkan pelita di depan rumah sepertimana dilakukannya pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui di kampung itu.
Menurut Azman, walaupun Nurly Sahirah arwah sudah tiada, keluarganya melakukan persediaan raya seperti biasa kerana empat anaknya bersama cucu-cucu akan pulang menyambut Aidilfitri bersama-sama.
Sementara itu, Kamariah berkata, setiap tahun dia wajib menyediakan hidangan nasi minyak gulai itik yang merupakan makanan kegemaran semua anaknya termasuk Nurly Sahirah.
“Jika diikutkan, ia makanan paling digemari Allahyarham tetapi saya kuatkan diri untuk memasaknya sebagai hidangan keluarga dan tetamu yang datang nanti.
“Pemergian Allahyarham sememangnya membawa semangat kami tetapi kami perlu kuat demi mereka yang masih ada untuk meneruskan kehidupan dan tidak tenggelam dalam kesedihan melampau,” katanya.-UTUSAN










