Tak sihat, singgah untuk guna tandas alasan kaki ponteng puasa - Utusan Malaysia

Tak sihat, singgah untuk guna tandas alasan kaki ponteng puasa

ASYRAF Ismail (dua dari kanan) bersama sebahagian individu yang ditahan dalam Op Ponteng Puasa di sebuah pusat snuker di Jalan Raja Ekram, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Alasan tidak sihat dan sekadar singgah seketika untuk menggunakan tandas antara yang diberikan oleh kaki ponteng puasa kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ketika operasi di sebuah pusat snuker di Jalan Raja Ekram, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama JAIPk, Asyraf Ismail berkata, dalam Op Ponteng Puasa itu, seramai lapan individu berusia 36 hingga 59 tahun ditahan dengan lima daripadanya bagi kesalahan tidak menghormati Ramadan.

Katanya, serbuan ke atas premis berkenaan dibuat selepas risikan dijalankan selama seminggu.

“Berdasarkan risikan, kita dapati memang ramai kalangan orang Islam yang datang ke sini dan mengambil peluang untuk makan dan minum pada siang hari bulan Ramadan.

“Di sini juga memang ada disediakan makanan. Kita boleh lihat banyak bungkusan air, puntung rokok dan mee goreng yang dikatakan dibekal oleh gerai berhampiran lokasi serbuan” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi berkenaan pihaknya turut mengesan kegiatan perjudian dan menahan dua lelaki untuk siasatan lanjut.

Katanya, antara individu yang ditahan dalam operasi itu turut melibatkan kakitangan kerajaan.

“Secara keseluruhan, lapan individu ditahan dalam operasi ini. Lima daripada mereka disiasat di bawah Seksyen 24 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana tidak menghormati Ramadan.

“Individu yang ditahan kerana berjudi itu disiasat di bawah Seksyen 26 enakmen yang sama dengan seorang lelaki disiasat di bawah Seksyen 61 kerana bersubahat dalam kesalahan berjudi.

“Selain itu, seorang pekerja premis akan disiasat di bawah Seksyen 61 kerana bersubahat dalam kesalahan di bawah Seksyen 24,”katanya.

Tambah beliau, kesemua individu terbabit akan dibawa ke pejabat penguat kuasa JAIPk untuk siasatan lanjut sebelum sebarang tindakan diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN