KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) melunaskan sebanyak RM95.3 juta zakat kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) pada 2025 dengan Selangor menerima agihan zakat tertinggi sebanyak RM27 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, ia sejajar dengan jumlah simpanan pendeposit dari negeri tersebut.
“Jumlah keseluruhan zakat yang telah dilunaskan sejak penubuhan TH mencecah RM1.57 bilion.
“Melalui Program Zakat Wakalah TH, bantuan kepada lebih 726,000 asnaf telah disalurkan TH dalam 2025, menjadikan jumlah keseluruhan penerima bantuan melebihi 2.9 juta asnaf dalam tempoh sedekad,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, TH telah melaksanakan beberapa inisiatif transformasi strategik bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya, menyelesaikan isu legasi, serta memperkasakan tadbir urus dan pengurusan risiko.
“Langkah ini bertujuan memperhalusi strategi pelaburan bagi memastikan pulangan yang lebih mampan.
“Disiplin dan kawalan kos dan kecekapan operasi turut menyumbang kepada prestasi kewangan yang lebih baik.
“Kami telah berjaya mengurangkan kos keseluruhan sebanyak 6.0 peratus dan sedang membina semula rizab kewangan. TH akan terus memperkukuh kedudukan kewangannya bagi melindungi simpanan para pendeposit,” katanya.
Kedudukan kewangan TH kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion melebihi liabiliti sebanyak RM95.63 bilion.
Sebagai institusi haji, TH telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam Malaysia menunaikan ibadah haji sejak penubuhannya.
Pengurusan simpanan haji secara berhemah penting supaya TH dapat terus menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh para pendeposit dalam merealisasi impian menunaikan ibadah haji.
Katanya, baru-baru ini, TH memperkenalkan #menujuistitoah, satu inisiatif pendidikan dan penglibatan digital peringkat nasional yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk memulakan simpanan haji lebih awal serta menabung secara konsisten.
“Pengukuhan kemampuan atau istito’ah kewangan kekal sebagai teras misi Reform dan Rejuvenate (R2) Tabung Haji.
“la bermula dengan menggalakkan budaya menabung secara berdisiplin supaya rakyat Malaysia bersedia dari segi kewangan apabila tiba giliran mereka menunaikan haji,” jelasnya. – UTUSAN










