KANGAR: Tabika Perpaduan yang diwujudkan sejak tahun 1976 terus berkembang pesat sehingga menjadi antara jaringan pendidikan prasekolah yang penting di negara ini.
Perkembangan itu menyaksikan sehingga September 2025, sebanyak 1,781 kelas Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah murid seramai 34,008.
Lebih membanggakan, pendidikan di tabika itu juga diberikan sepenuhnya secara percuma tanpa sebarang yuran pendaftaran, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan seluruh kanak-kanak berpeluang mendapatkan pendidikan awal berkualiti tanpa mengira latar belakang ekonomi atau sosial keluarga.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, penubuhan Tabika Perpaduan dirancang secara sistematik bagi memastikan persekitaran pembelajaran benar-benar mencerminkan kepelbagaian masyarakat.
Katanya, antara syarat pembukaan kelas tabika itu ialah kawasan tersebut mempunyai sekurang-kurangnya 200 unit rumah atau 500 penduduk, mempunyai premis sesuai dan selamat mampu menampung sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak serta kawasan yang mempunyai kanak-kanak daripada pelbagai kaum.
“Pendekatan pengajaran di Tabika Perpaduan juga dirangka melalui beberapa modul khusus yang memberi penekanan kepada pembangunan holistik kanak-kanak. Antaranya ialah modul Pendidikan Rukun Negara yang dilaksanakan bagi memberi pengetahuan dan kefahaman kepada murid tentang lima prinsip Rukun Negara yang menjadi tunjang kepada kehidupan bermasyarakat di Malaysia.
“Modul ini dilaksanakan melalui pendekatan yang sesuai dengan tahap kanak-kanak seperti latihan dalam buku pendidikan Rukun Negara, simulasi, permainan interaktif serta penggunaan bahan bantu mengajar seperti kad imbas dan tayangan video. Pendekatan ini membantu kanak-kanak memahami nilai hormat, tanggungjawab dan kasih sayang terhadap negara sejak usia muda,” katanya di sini hari ini.
Katanya, bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak, pelbagai program dirancang sepanjang tahun di Tabika dan Taska Perpaduan.
Beliau berkata, antaranya seperti program Cilik Perpaduan Kembali ke Tabika dan Taska Perpaduan, Menu Sihat Perpaduan, Sukaneka Perpaduan, Sambutan Hari Kanak-Kanak yang merangkumi aktiviti Usahawan Cilik, Senam Harmoni serta program Pintar Kreatif dan Hari Konvokesyen yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengembangkan potensi diri secara menyeluruh.
“Selain itu, program Modul Interaktif Perpaduan yang menggunakan smart board dan aplikasi interaktif turut diperkenalkan bagi menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Program seperti Jelajah Tabika Perpaduan Dihatiku dan Sukaneka Perpaduan Prasekolah pula membantu memperkukuh hubungan antara komuniti, ibu bapa dan institusi pendidikan,” katanya.
Katanya, dalam menghadapi era transformasi digital yang berkembang pesat, peranan pendidikan awal kanak-kanak menjadi semakin kritikal bukan sahaja membentuk asas pembelajaran, tetapi memupuk jati diri kebangsaan.
Justeru, katanya, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah merangka hala tuju Tabika Perpaduan bagi memastikan institusi berkenaan terus relevan dan berdaya saing dalam sistem pendidikan negara.
“Antara perancangan utama ialah pembangunan Modul Pendidikan Rukun Negara yang akan dibangunkan bermula tahun 2026 hingga 2027 bersama agensi prasekolah lain dan seterusnya dilaksanakan di semua prasekolah di negara ini.
“Modul ini bertujuan memperkukuh penerapan elemen kenegaraan dan perpaduan ke arah membina budaya faham, hormat dan terima dalam kalangan generasi muda. Selain itu, latihan berstruktur pendidikan perpaduan melalui pendigitalan juga akan diperkenalkan bagi memperkasa profesionalisme guru Tabika Perpaduan,” katanya.-UTUSAN










