Syarikat Malaysia perlu tuntut semula bayaran tarif daripada AS

Syarikat Malaysia perlu tuntut semula bayaran tarif daripada AS

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat Malaysia yang dipaksa membayar tarif kepada Amerika Syarikat (AS) perlu menuntut semula bayaran balik berserta faedah selepas Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan negara itu terbatal.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, kira-kira AS$166 bilion tarif yang telah dikutip sepanjang tahun lalu di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) turut menjadi perhatian selepas mahkamah memutuskan pungutan tersebut tidak sah pada Februari lalu.

Katanya, kerajaan justeru itu disaran membantu syarikat tempatan menuntut semula bayaran balik tarif yang dikenakan oleh AS.

“Malah kerajaan perlu menyenaraikan jumlah bahagian Malaysia daripada keseluruhan AS$166 bilion tarif yang dikutip oleh kerajaan AS sejak 2025 bagi membantu syarikat tempatan menuntut semula bayaran tersebut.

“Dengan ART kini terbatal, syarikat-syarikat Malaysia yang telah dipaksa membayar tarif kepada AS sejak tahun lalu berhak menuntut bayaran balik serta faedah ke atas pembayaran tarif tersebut.

“Kerajaan Malaysia seharusnya menyenaraikan jumlah daripada AS$166 bilion tarif yang telah dibayar oleh syarikat-syarikat Malaysia dan membantu syarikat-syarikat ini menuntut semula bayaran balik tarif serta faedah yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, mahkamah turut memutuskan AS perlu membuat bayaran balik bagi semua tarif yang dikutip secara tidak sah selain membayar faedah ke atas bayaran tersebut.

Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengesahkan bahawa ART yang ditandatangani antara Malaysia dan AS tahun lalu kini terbatal selepas keputusan Mahkamah Agung AS.

Mahkamah berkenaan memutuskan bahawa tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump adalah tidak sah.

Trump kemudiannya menyatakan akan mengenakan tarif global sebanyak 15 peratus bagi menggantikan tarif yang dibatalkan oleh mahkamah, selepas sebelum ini mengumumkan levi 10 peratus ke atas semua barangan yang memasuki AS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN