Sudah jangka ada kata kami tiru Akim & The Majistret - Asfan - Utusan Malaysia

Sudah jangka ada kata kami tiru Akim & The Majistret – Asfan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer, Asfan Shah menafikan penubuhan band terbaharunya, Asfan & Manusia tiga bulan lalu sebagai cubaan meniru kejayaan kumpulan Akim & The Majistret.

Menurut Asfan, tanggapan itu sudah dijangka susulan penggunaan simbol ‘&’ pada nama kumpulannya yang sering dikaitkan dengan identiti kumpulan tersebut.

“Saya sudah menjangkakan perkara ini. Apabila kita menggunakan simbol ‘&’ pada nama band, pasti ada yang membuat perbandingan dengan Akim & The Majistret. Namun, konsep sebegini sebenarnya sudah lama wujud, seperti Azlan & The Typewriter,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, hubungan baik dengan Akim Ahmad serta barisan pemuzik kumpulan itu yang pernah terlibat dalam projek rakamannya sebelum ini menunjukkan industri muzik tempatan bersifat kecil dan saling berkait.

“Saya mengenali Akim sebagai rakan, malah sebahagian pemuzik dalam kumpulan itu pernah terlibat dalam lagu-lagu saya. Industri muzik kita kecil dan ruang lingkupnya sangat rapat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asfan menegaskan hala tuju muzik Asfan & Manusia berbeza sepenuhnya berbanding kumpulan tersebut.

“Kami memberi fokus kepada arah muzik yang tidak sama dengan apa yang dibawakan oleh Akim. Band ini lebih cenderung kepada pop elektronik, berbeza dengan balada perlahan yang sering saya hasilkan sebelum ini.

“Single kedua yang akan dirakam selepas Aidilfitri nanti juga bakal menampilkan kelainan yang ketara,” katanya.

Kumpulan Asfan & Manusia turut menampilkan barisan pemuzik berpengalaman seperti Zack selaku pemain bass, One (dram), serta Adam Kamal dan Arash sebagai gitaris.

Menurut Asfan, penglibatan pemuzik berpengalaman memberi nilai tambah kepada kumpulan itu, terutama dari segi sokongan peminat masing-masing.

“Selepas sedekad bergerak solo, saya mahu melakukan sesuatu yang berbeza. Menerusi band ini, saya lebih bebas berkarya berbanding projek solo yang kadangkala tidak menjadi.

“Apabila bergerak sebagai satu kumpulan, impaknya lebih besar. Saya juga baru menyedari setiap anggota seperti Zack dan One mempunyai kelompok peminat tersendiri,” jelasnya.

Terdahulu, band Asfan & Manusia baru sahaja menerbitkan sebuah single terbaharu bertajuk Dusta. Pada masa sama, Asfan terus aktif menghasilkan lagu untuk artis lain, termasuk Syura Badron. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN