PETALING JAYA: Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan operasi penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar dinilai semula secara menyeluruh bagi memastikan aspek keselamatan anggota diberi keutamaan.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, insiden yang menyaksikan anggota polis cedera parah dan terkorban ketika menjalankan tugas tidak boleh dianggap sebagai risiko pekerjaan semata-mata.
Katanya, anggota penguat kuasa merupakan barisan hadapan yang mempertaruhkan keselamatan diri demi melindungi masyarakat, justeru kebajikan dan perlindungan mereka perlu dijadikan agenda utama.
“Saya ingin menyeru agar PDRM memberi perhatian yang lebih serius dan segera terhadap aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) melibatkan anggota penguat kuasa, khususnya ketika menjalankan operasi di jalan raya dan kawasan awam yang berisiko tinggi.
“Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa insiden menyedihkan yang melibatkan anggota polis. Kejadian-kejadian ini tidak boleh dianggap sebagai risiko pekerjaan semata-mata atau sesuatu yang tidak dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, antara aspek yang perlu diberi perhatian termasuk pemilihan lokasi sekatan jalan raya dengan jarak penglihatan mencukupi, penyediaan zon penampan keselamatan serta pemasangan papan tanda amaran lebih awal.
“Tiada anggota sepatutnya terdedah kepada bahaya yang tidak perlu akibat kelemahan perancangan keselamatan, kekurangan peralatan perlindungan atau SOP yang tidak lagi relevan.
“Kajian ini wajar melibatkan pakar keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pakar keselamatan jalan raya serta profesional pengurusan risiko bagi memastikan pendekatan yang lebih sistematik dan berkesan,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan perlu diambil segera tanpa menunggu lebih banyak kecederaan atau kehilangan nyawa, kerana pencegahan hari ini menjamin keselamatan masa hadapan. – UTUSAN











