SEPANG: Isu kepadatan murid di daerah ini bakal berakhir apabila sebuah lagi sekolah hampir siap dibina dan dijangka beroperasi sepenuhnya bermula Jun depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan menyerahkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) pada 21 April ini.
Beliau berkata, SMK Kota Warisan yang dibina dengan kos RM55.8 juta adalah sebuah projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Buat masa ini, kemajuan semasa projek telah mencapai tahap 99 peratus merangkumi pembinaan 42 bilik darjah serta pelbagai kemudahan lain mengikut piawaian yang telah ditetapkan.
“Apabila beroperasi kelak, SMK Kota Warisan berupaya menempatkan 1,260 murid. Buat permulaan, sekitar 900 murid akan ditempatkan di sekolah ini masing-masing dari SMK Bandar Baru Salak Tinggi dan SMK Seri Sepang,” katanya ketika meninjau sekolah berkenaan di sini hari ini.
Katanya, selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor juga sedang melaksanakan 80 projek di bawah kerja pendidikan dengan kos bernilai RM 682.88 juta merangkumi 53 projek meliputi pembinaan sekolah berkepadatan tinggi IBS, dewan serbaguna terbuka berbumbung, sekolah daif dan bangunan prasekolah.
Ahmad berkata, JKR Selangor juga telah berjaya menyerahkan 122 bilangan projek di bawah kerja pendidikan di Selangor dengan kos keseluruhan berjumlah RM 84.23 juta sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, secara keseluruhan, JKR telah melaksanakan sebanyak 1492 projek di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM 37.98 bilion.
“Sebanyak 771 projek dalam peringkat Pra Bina dan 721 projek di peringkat Pasca Bina,” katanya.
Katanya, kerajaan akan terus komited dalam memantau prestasi kemajuan projek pembinaan sekolah di seluruh negara mengikut garis masa yang ditetapkan demi manfaat anak-anak bangsa. – UTUSAN










