MELAKA: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memberi tumpuan kepada usaha menghidupkan semula 84 koperasi yang dikenal pasti tidak aktif daripada keseluruhan 516 koperasi berdaftar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Alex Seah Shoo Chin berkata, usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh peranan koperasi sebagai pemacu ekonomi komuniti.
Beliau berkata, kebanyakan koperasi yang tidak aktif dikenal pasti tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan, sekali gus menjejaskan potensi koperasi sebagai platform meningkatkan ekonomi ahli dan masyarakat setempat.
“Fokus kita tahun ini adalah untuk memulihkan koperasi yang kurang aktif supaya mereka dapat kembali menjalankan aktiviti ekonomi dan memberi manfaat kepada anggota.
“SKM akan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan latihan dengan kerjasama Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ihya Ramadan bersama Gerakan Koperasi Negeri Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini semalam.
Pada majlis tersebut seramai 30 anak yatim daripada Rumah Kasih Tun Abd. Aziz menerima sumbangan duit raya dan goodies.
Seah berkata, program yang diatur termasuk kursus pengurusan koperasi, bimbingan perniagaan serta pembangunan kapasiti.
Jelasnya, ia bertujuan agar koperasi yang baharu didaftarkan mempunyai hala tuju serta perancangan perniagaan yang jelas.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga menggalakkan koperasi meneroka sektor baharu yang berpotensi menjana pendapatan termasuk pelancongan komuniti. – UTUSAN











