Sistem digital pantau badal haji, umrah - Utusan Malaysia

Sistem digital pantau badal haji, umrah

MOHD Azmi Abdul Hamid (dua kanan) menukarkan memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat Muslim Smart Wearabke Company (MSWC) di ibu pejabat MAPIM di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Muslim Smart Wearable Company (MSWC) memperkenalkan sistem digital dalam pengurusan badal haji dan umrah melalui penggunaan M2 Muslim Smartwatch. 

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendekatan berasaskan teknologi dilihat mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pelaksanaan ibadah tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan badal haji sebagai tanggungjawab fardu kifayah perlu diurus secara lebih telus dan sistematik selaras dengan peningkatan kos serta keperluan umat Islam masa kini.

“Kami memperkenalkan sistem pemantauan digital berteknologi tinggi bagi pengurusan badal haji dan badal umrah yang boleh dipantau secara masa nyata.

“Sistem berkenaan dibangunkan menerusi kerjasama dengan syarikat teknologi dari Arab Saudi, MSWC melalui penggunaan peranti pintar itu.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan, malah memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa pelaksanaan badal haji dan badal umrah dapat dilakukan secara amanah dan boleh disahkan,” katanya kepada pemberita semasa menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat berkenaan di sini, hari ini. 

Menurut Mohd Azmi, peningkatan kos menunaikan haji ketika ini menjadikan pengurusan badal haji yang lebih tersusun dan dipercayai semakin penting.

Katanya, sistem itu menggunakan konsep ‘Track & Trace Ibadah’ yang membolehkan setiap pelaksanaan ibadah direkodkan secara digital melalui integrasi jam pintar, telefon mudah alih serta sistem storan awan.

“Setiap pelaksanaan juga disertakan dengan pensijilan digital bagi memastikan ia direkod secara profesional serta boleh dirujuk oleh waris atau pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, MAPIM turut mencadangkan penubuhan tabung badal haji  dan  umrah bagi membolehkan masyarakat menyimpan atau menyumbang secara berperingkat.

“Pendekatan itu diharap dapat meringankan beban waris serta memudahkan umat Islam merancang pelaksanaan ibadah bagi ahli keluarga mereka secara lebih awal dan sistematik,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MSWC Malaysia, Datin Seri Azreen Abu Noh berkata, penggunaan teknologi wearable melalui M2 Muslim Smartwatch merupakan satu inovasi dalam pengurusan ibadah umat Islam.

“Sistem tersebut membolehkan pelaksanaan badal haji dan badal umrah dipantau serta disahkan secara digital secara lebih telus dan dipercayai.

“Perkara ini juga akan meningkatkan keyakinan umat islam bahawa pelaksanaan badal haji dan badal umrah sapat dilakukan secara amanah, profesional dan boleh disahkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN