Shuib terharu terima duit raya daripada Talita, teringat sifat pemurah Siti Sarah - Utusan Malaysia

Shuib terharu terima duit raya daripada Talita, teringat sifat pemurah Siti Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak dan usahawan, Shuib terharu menerima pemberian duit raya daripada anak perempuannya, Dzahira Talita Zahra buat pertama kali pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

Shuib atau Shahmira Muhamad, 40, menyifatkan pemberian tersebut sebagai sesuatu yang sangat bermakna memandangkan anaknya itu baru sahaja menginjak usia 13 tahun.

Malah, sifat pemurah anaknya itu mengingatkannya dengan isterinya, Allahyarham Siti Sarah yang terkenal dengan amalan suka berkongsi rezeki.

“Kepada Ibu Siti Sarah, anak perempuan awak, Thalita bagi saya duit raya buat pertama kalinya.

“Umur dia baru 13 tahun tetapi sudah boleh bagi duit raya kepada keluarga. Memang hati yang sangat baik, macam awak,” tulisnya menerusi perkongsian di Threads.

Dalam pada itu, bapa kepada empat cahaya mata itu turut memberikan menzahirkan penghargaan buat isterinya yang juga ibu tiri kepada Thalita, Watie Hanifiah yang berjaya mendidik anak-anaknya mengenai konsep berbagi rezeki.

“Ini semua hasil didikan Mummy Watie juga. Pandai didik anak-anak tentang rezeki. Alhamdulillah, syukur ya Allah. Selamat Hari Raya semua,” katanya lagi.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan Thalita yang dilihat sangat matang selain menyifatkan hubungan akrab antara Watie dan anak-anak tirinya sebagai contoh keluarga bahagia.

“Bagus Shuib, dalam memuji arwah isteri, puji juga Watie, Alhamdulillah cara didikan yang baik,” tulis satu komen.

”Shuib kena bingkaikan duit itu, bagi semangat dekat Talita,” seloroh seorang peminat.

”Alhamdulillah, semoga Talita berjaya dunia akhirat,” tulis satu komen.

Terdahulu, Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 2011 namun penyanyi lagu Kesetiaan itu menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.
Shuib kemudiannya menamatkan zaman duda dengan mengahwini Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah pada 23 Jun 2023. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN