KUALA LUMPUR: “Maka Dendang Perantau saya di Shanghai.”
Demikian perkongsian Penyanyi, Shila Amzah yang menyambut Hari Raya Aidilfitri di China kerana menjayakan konsert yang berlangsung pada 1 Syawal.
Menurut Shila, dia terpaksa akur berhari raya di luar negara disebabkan tarikh konsert berkenaan telah ditetapkan lebih awal oleh pihak penganjur.
“Konsert saya di Shanghai berlaku pada hari raya.
“Penganjur sudah tetapkan tarikh, jadi saya teruskan sahaja perancangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujar pelantun lagu Patah Seribu itu, dia tidak keseorangan sepanjang berada di perantauan kerana turut membawa suami, dua anak serta adik iparnya sebagai peneman.
“Saya bawa kedua-dua anak dan adik ipar saya.
“Kami sudah berada di Shanghai sejak dua hari lepas,” katanya lagi.
Walaupun terpaksa berjauhan daripada suasana tradisi Aidilfitri di tanah air, Shila tetap melihat pengalaman tersebut dari sudut positif.
“Tak apalah, dendang perantaulah kami tahun ini,” selorohnya.
Shila turut berkongsi bahawa ini bukan kali pertama beliau menyambut Hari Raya di luar negara, namun ia merupakan pengalaman pertama beraya sambil terlibat dalam konsert pada hari yang cukup bermakna itu. – UTUSAN










