NARATHIWAT, (THAILAND): Tiga pintu sempadan utama yang menghubungkan Wilayah Narathiwat dengan Kelantan kini beroperasi lebih awal apabila pusat pemeriksaan imigresen dibuka seawal pukul 5 pagi waktu tempatan bermula semalam.
Ia melibatkan laluan pintu masuk di Sungai Golok–Rantau Panjang, Tak Bai–Pengkalan Kubor dan Buketa–Bukit Bunga yang menjadi laluan penting rakyat kedua-dua negara.
Sumber keselamatan Thailand berkata, pusat pemeriksaan imigresen Sungai Golok itu beroperasi dari pukul 5 pagi hingga 9 malam waktu tempatan.
“Bagaimanapun, untuk Tak Bai dan Buketa masing-masing dari pukul 5 pagi hingga 6 petang. Pelarasan waktu operasi tersebut dibuat susulan keputusan Malaysia membuka Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan berkenaan bermula pukul 6 pagi waktu Malaysia.
“Pembukaan pintu sempadan lebih awal ini memudahkan pergerakan rentas sempadan selain merancakkan kegiatan perdagangan, pelancongan serta urusan pelajar Thailand berulang-alik ke Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Pejabat Gabenor Narathiwat memohon Malaysia melaraskan semula waktu operasi lintasan sempadan antara kedua-dua negara.-UTUSAN










