Selangor rekod kesalahan tertinggi gagal pamer tanda harga

Selangor rekod kesalahan tertinggi gagal pamer tanda harga

AZMAN Adam pada sidang akhbar selepas pemantauan di Anjung Syawal di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga dikenal pasti sebagai kesalahan paling banyak dikesan sepanjang pelaksanaan Op Pantau 2026 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setakat ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil 40,563 pemeriksaan di seluruh negara, Selangor merekodkan jumlah tertinggi bagi kesalahan itu sejak operasi dilaksanakan pada 19 Februari lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 785 kes telah dikesan melibatkan pelbagai kesalahan dan sebanyak 613 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan RM158,800.

“Ini menjadikan nilai rampasan keseluruhan sepanjang 17 hari menjalankan Op Pantau ini berjumlah kira-kira hampir RM4.28 juta.

“Pemeriksaan dilakukan di pelbagai premis perniagaan termasuk bazar Ramadan, kedai runcit, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, mini market, restoran serta kompleks beli-belah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan di Bazar Anjung Syawal di sini malam tadi.

Katanya, sebanyak 132 aduan direkodkan di Selangor, diikuti Sabah (130) dan Sarawak (123) daripada keseluruhan 930 aduan yang diterima pihak kementerian sepanjang tempoh operasi itu.

Menurutnya, kebanyakan aduan yang diterima melibatkan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga selain isu penggunaan alat timbang yang tidak tepat, khususnya di pasar pagi, pasar basah dan pasar tani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN