PETALING JAYA: Sektor pelabuhan dan logistik Malaysia dijangka menghadapi prospek yang tidak menentu pada 2026 susulan ketidakjelasan dasar tarif dan peningkatan risiko geopolitik, walaupun terdapat beberapa kelebihan daripada pengalihan perdagangan dan ketahanan e-dagang.
Kenanga Research berkata, walaupun suku keempat 2025 mencatatkan prestasi bercampur, tanda-tanda menunjukkan cabaran lebih besar menanti pemain industri pada tahun ini.
“Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), pertumbuhan jumlah perdagangan barangan global dijangka merosot kepada 0.5 peratus daripada 1.8 peratus berikutan peningkatan konflik di Asia Barat.
“Selain itu, pengenalan sementara tarif asas sejagat 10 peratus oleh pentadbiran Trump pada Februari 2026 turut dijangka menjadi halangan jangka pendek.
“Kadar dan skop tarif akhir masih diselaraskan melalui rundingan perdagangan yang sedang berlangsung,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma itu berkata, industri itujuga bersedia menghadapi perubahan struktur bermula 1 Januari 2026 dengan pelaksanaan Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM) oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan Kesatuan Eropah.
“Peraturan ini mewajibkan kapal mengurangkan intensiti karbon sebanyak 2.0 peratus setahun, langkah yang dijangka meningkatkan kos operasi apabila syarikat beralih kepada bahan api rendah karbon.
“Dalam laporan ringkas suku keempat 2025, Westports Holdings Bhd. melepasi jangkaan susulan kenaikan tarif pelabuhan.
“Sementara itu, keputusan Bintulu Port Holdings Bhd. sejajar dengan jangkaan apabila kompleks PETRONAS MLNG kembali beroperasi sepenuhnya.
‘Bagaimanapun, Swift Haulage Bhd. mencatat prestasi mengecewakan pada suku keempat 2025, dipercayai akibat persaingan yang semakin sengit yang menjejaskan jualan dan margin keuntungan,” jelasnya.
Katanya, Pos Malaysia Bhd. pula gagal memenuhi jangkaan susulan masalah perkhidmatan logistik dan gangguan operasi kapal laut, menunjukkan perjalanan pemulihan yang lebih panjang.
Kenanga tidak mengesyorkan sebarang pilihan utama bagi sektor ini pada masa ini. –UTUSAN










