PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera mengemukakan pelan kontingensi untuk mempersiapkan negara bagi menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik yang semakin kritikal, khususnya akibat konflik di Asia Barat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran memberi kesan meluas ke rantau Teluk sehingga menjejaskan ekonomi global dan Malaysia.
“Jika keadaan ini berterusan, ekonomi Malaysia akan terjejas. Harga barang akan melambung dan inflasi akan meningkat, akhirnya rakyat menjadi mangsa.
“Di waktu inilah kita mengharapkan kepemimpinan yang baik, yang ada hala tuju jelas, yang matang dalam membuat keputusan dan tahu mencari jalan keluar untuk rakyat dan negara.
“Kita mahu kerajaan lakukan yang terbaik, buat persediaan segera dengan mengemukakan pelan kontingensi agar rakyat dan negara berupaya menghadapi cabaran yang mendatang nanti,” katanya melalui hantaran di Facebook, malam ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mencadangkan pendekatan ‘reset’ dilaksanakan sebagai langkah menyeluruh untuk masa depan negara.
“Agenda reset ini bukan soal kelangsungan politik mana-mana individu atau parti. Ia adalah perjuangan bersifat menyeluruh, inklusif dan berorientasikan masa depan negara.
“Lebih penting, ia selari dengan pendekatan maqasid syariah agar terbinanya sebuah negara ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafur’ iaitu sebuah negara yang baik, yang makmur, yang mendapat keampunan dan keberkatan daripada Allah,” katanya.
Hamzah mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin yang terus dizalimi dalam konflik di Asia Barat, meskipun dalam suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri
Beliau turut mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, bagi pihak dirinya, keluarga serta ahli Parlimen pembangkang. – UTUSAN










