PETALING JAYA: Pelakon Puteri Sarah Liyana meluahkan rasa simpati terhadap luahan seorang ibu yang mendakwa anaknya terpaksa menunggu lama ketika menjalani sesi penggambaran iklan.
Menurut Sarah, perkara itu juga merupakan salah satu asbab dirinya enggan mengizinkan anak-anaknya, Syaikhul Islam dan Sumayyah terlibat dalam dunia hiburan tanah air.
“Saya sangat simpati mendengar tentang perkara ini.
Sebab inilah sebenarnya saya tidak mahu anak-anak saya terlibat,” katanya.
Sarah berkata demikian ketika membalas komen perkongsian wanita berkenaan yang mendakwa kebajikan anaknya yang berusia empat tahun terabai selama 15 jam ketika menjalani penggambaran iklan raya.
Wanita terbabit turut mendakwa tenaga anaknya juga dikerah sepanjang penggambaran, namun keselesaan kanak-kanak itu tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Hati ibu mana tidak hancur tengok anak umur 4.5 tahun kena ‘sidai’ masa sesi penggambaran sehingga 15 jam?
“Anak saya, Noel terpaksa tidur dalam kereta selama dua jam setengah sebab produksi tidak sediakan tempat rehat yang selayaknya, malah tandas yang sempurna pun tidak ada.
“Budak sekecil itu dikerah untuk iklan raya, tetapi kebajikan zero (kosong),” luahnya di Threads.
Bagaimanapun, wanita berkenaan dilihat telah memadam hantaran yang telah menuai perhatian dalam kalangan warganet tersebut.










