BUKIT MERTAJAM : Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk memastikan bahawa pelajar atau murid yang mempunyai masalah kesihatan tidak lagi tercicir daripada mendapat akses pendidikan yang sepatutnya menerusi program Sekolah Dalam Hospital (SDH).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini, sebanyak 20 buah hospital di 12 buah negeri termasuk Kuala Lumpur terlibat dengan program SDH dan KPM kini sedang dalam perancangan untuk memperluas program itu ke hospital-hospital di Perak dan Putrajaya.
Beliau berkata, sejak SDH diwujudkan pada 2011, program tersebut telah berjaya mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak selain memberi manfaat kepada lebih 400,000 pelajar yang mempunyai masalah kesihatan untuk kembali belajar.
“Jadi, kita lihat keberkesanan sokongan (terhadap SDH) itu ada walaupun barangkali mereka (pelajar yang tercicir akibat masalah kesihatan) tidak dapat bersekolah seperti biasa.
“Apapun, kita tetap jayakan juga program itu dalam konteks untuk terus mendokong akademi serta sebagai sebahagian daripada sokongan terapi kepada pelajar-pelajar ini.
“Maka, oleh sebab itu juga, modul dan guru (bagi program SDH) sangat penting kerana kebanyakan guru yang terpilih ini memang berhasrat untuk mengajar di sini dan mereka juga bersedia memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan program ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu di Hospital Seberang Jaya (HSJ), hari ini.
Difahamkan, HSJ merupakan hospital pertama di Pulau Pinang yang terlibat dengan program itu sejak ia memulakan operasi pada 5 Ogos 2024 dengan jumlah pelajar seramai 642 orang.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, melalui SDH, setiap guru yang terlibat akan diberikan kemudahan medium serta peranti sokongan bagi memastikan tugas pengajaran dapat dilaksanakan berdasarkan keadaan kesihatan pelajar sama ada terlantar atau boleh menghadiri kelas.-UTUSAN










