CYBERJAYA: Sindiket penipuan kewangan dalam talian hanya mengambil masa antara tiga hingga 10 minit bagi melesapkan 80 hingga 90 peratus duit mangsa dalam akaun bank menerusi keldai akaun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan mendapati, sindiket penipuan dalam talian telah mempersiapkan proses penipuan dengan begitu teliti sekali tanpa disedari mangsa.
“Ada kes mangsa hanya sedar bahawa dia telah berkongsi akaun sekitar pukul 2 petang dan memaklumkan kepada pusat ini sekitar pukul 10 hingga 12 malam.
“Jadi, dalam tempoh sekitar 10 jam itu sudah cukup untuk melesapkan sehingga 80 peratus wang dalam akaunnya,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di sini, hari ini.
Justeru, katanya, aduan segera oleh mangsa kepada NSRC amat penting terutama dalam tempoh satu jam pertama selepas mangsa sedar ditipu.
Saifuddin berkata, tempoh satu jam pertama selepas aduan mangsa itu penting kerana ia membolehkan tindakan segera dibuat pusat itu termasuk menyekat aktiviti penipuan berkenaan.
“Jadi cabaran buat kita ialah lagi cepat mangsa melaporkan, lagi banyak yang dapat diselamatkan. Satu jam pertama itu paling kritikal untuk membolehkan kita segera bertindak.
“Menerusi NSRC, sebaik aduan dibuat langkah pertama diambil pusat itu ialah ‘sekat’, ‘siasat’ dan seterusnya ‘pulangkan’. Ini (tindakan segera) akan menjadi kayu ukur terhadap keberkesanan pusat ini,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Penubuhan pusat itu adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam membanteras jenayah siber.
NSRC kini berfungsi sepenuhnya sebagai pusat respons kebangsaan iaitu 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. – UTUSAN










