PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB), Rosland Othman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia.
Menurut kenyataan, Rosland didakwa di bawah seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menyebabkan penyerahan Laporan Kewangan Interim SCIB bagi suku berakhir 30 Jun 2021 yang mengandungi angka pendapatan palsu berjumlah RM852.8 juta.
“Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Azrul Darus.
“Mahkamah membenarkan Rosland diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin tempatan.
“Selain itu, beliau diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan sehingga perbicaraan selesai. Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda sehingga RM3 juta,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, SC turut memperoleh waran tangkap terhadap bekas Pengerusi SCIB, Datuk Dr. Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah (Karim) yang kini berada dalam pelarian.
Karim dikehendaki atas kesalahan yang sama di bawah seksyen 369(b)(B) CMSA membabitkan penglibatan beliau dalam penyerahan kenyataan palsu SCIB kepada Bursa Malaysia.
Sebelum ini, beliau pernah didakwa atas kesalahan serupa melibatkan penyata kewangan Serba Dinamik Holdings Berhad pada 2021, namun kes tersebut diselesaikan melalui kompaun RM3 juta.
Pihak SC menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Karim untuk tampil menyalurkan maklumat.
Alamat terakhir beliau yang diketahui adalah di Cahaya SPK, Shah Alam, Selangor dan juga di Burj Khalifa, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
SC menegaskan bahawa pendedahan maklumat kewangan yang tepat oleh syarikat senarai awam adalah sangat kritikal bagi memastikan kepercayaan dan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara kekal terpelihara. –UTUSAN










