KUALA LUMPUR: Pelakon Ida Nerina mendedahkan ibunya, Allahyarham Marina Md. Yusoff sempat meluahkan ucapan sayang buat kali terakhir sebelum pulang menghadap Illahi.
Ida atau Ida Nerina Hussain, 62, berkata ucapan ringkas ‘I love you’ (saya sayang awak) yang disampaikan ibunya itu menjadi kenangan terakhir yang amat bermakna buat dirinya.
“Ucapan terakhir yang sempat disampaikan ibu kepada saya ialah ‘I love you’.
“Kasih sayang ibu kepada anak-anak, adik-beradik serta cucu-cicitnya tiada bandingan buat saya,” katanya.
Mengimbau kenangan bersama arwah yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), pelakon filem Waris Jari Hantu itu berkata ibunya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga walaupun sibuk dengan komitmen dalam pembangunan masyarakat.
“Ibu mendedikasikan seluruh hidupnya untuk kami. Siapa sahaja kami hari ini dan apa yang kami miliki, semuanya kerana pengorbanan ibu,” katanya.
Menurutnya, arwah bukan sahaja menjadi tonggak kekuatan dalam keluarga, malah turut memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
“Ibu seorang wanita yang sangat hebat dan banyak jasanya kepada rakyat Malaysia.
“Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi Parlimen suatu ketika dahulu dan berjaya membangunkan sebuah bangunan setinggi 39 tingkat dengan permulaan dana hanya RM1 juta.
“Siapa yang mampu membina bangunan pencakar langit bermula dengan dana sekecil itu?” katanya.
Tambah Ida, arwah turut menyumbang dalam pembangunan pusat dialisis serta pernah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Ibu sentiasa membuka pintu hati dan rumahnya kepada orang ramai. Alhamdulillah, hari ini ramai yang hadir memberi penghormatan terakhir serta mendoakan arwah pada bulan yang mulia ini. Kami amat menghargainya,” katanya.
Terdahulu, jenazah bekas ahli politik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, semalam.
Kira-kira 100 ahli keluarga serta kenalan rapat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Antara yang hadir ialah Nazir Razak serta bekas ahli Majlis Tertinggi United Malays National Organisation (UMNO), Syed Hamid Albar.
Turut hadir memberi sokongan moral kepada Ida ialah rakan-rakan artis seperti Hairul Azreen dan Vanidah Imran.
Sebelum ini, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.16 petang di sebuah hospital swasta di sini akibat sakit tua pada usia 84 tahun. -UTUSAN










