Saya hanya fikir nak selamatkan mangsa lemas - nelayan - Utusan Malaysia

Saya hanya fikir nak selamatkan mangsa lemas – nelayan

Siti Rohani Nadir menyampaikan surat penghargaan kepada Wan Sapaat Sa'yon yang menyelamatkan mangsa lepas dalam kejadian lemas di Pantai Tanjong Buloh, Sedili Kecil, Kota Tinggi, bulan lalu sempena Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan JBPM Negeri Johor di Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor, di sini hari ini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Sebaik saya dengar ada mangsa lemas, saya tak fikir panjang lagi dan terus hidupkan enjin bot menuju ke lokasi kejadian,” cerita Wan Sapaat Sa’yon, 39, mengenai kejadian lemas di Pantai Tanjong Buloh, Sedili Kecil, Kota Tinggi, bulan lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang berada di jeti sebelum dihubungi sepupu memaklumkan terdapat kes lemas membabitkan seorang remaja dan dua kanak-kanak di lokasi kejadian.

Nelayan itu berkata, dia terus bertindak mengambil bekalan minyak diesel dari bot lain untuk dituang ke dalam tangki botnya sebelum bergerak ke Pantai Tanjong Buloh.

“Saya masih ingat dengan jelas situasi ketika itu, laut bergelora dengan pukulan ombak besar yang menyukarkan pergerakan bot saya yang mengambil masa hampir setengah jam untuk tiba ke lokasi.

“Apabila sampai, saya dengar jeritan remaja meminta tolong namun saya tidak dapat untuk pergi dekat dengannya. Saya mencampak tali ke arah mangsa, sebaik sahaja dia memegang tali itu, saya terus menariknya menaiki bot. Sebaik sahaja pulang ke jeti, bot saya sudah kehabisan minyak,” katanya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir di Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor, di sini hari ini.

Menurut Wan Sapaat lagi, kejadian itu merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi nelayan dan dia merasa bangga dengan keputusan yang diambilnya ketika itu.

“Walaupun saya tidak mengenali mangsa, saya cuma fikir untuk selamatkan nyawanya sahaja. Jika saya lambat sedikit bertindak, mungkin keadaan akan berbeza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN