PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi jenama Saji melancarkan kempen terbaharunya bertemakan ‘Menyala Lagi Raya’ bagi mengangkat kemeriahan Aidilfitri tahun ini.
Kempen tersebut adalah sebagai langkah bagi meraikan produk tersebut yang telah bertapak lebih 25 tahun sebagai jenama pilihan isi rumah tempatan, dimana Saji dikenali dengan minyak masak berasaskan sawit berkualiti tinggi.
“Hari ini, Saji menguasai lebih 37 peratus pasaran minyak masak tempatan, mencerminkan kekuatan jenama serta kepercayaan pengguna yang kukuh selama lebih dua dekad. Dikenali dengan minyak masak berasaskan sawit berkualiti tinggi, Saji kini berkembang sebagai jenama kulinari yang menawarkan pelbagai produk keperluan dapur termasuk marjerin, krimer, mi segera serta aneka bahan masakan seperti sos, kicap dan pes, selari dengan cita rasa dan gaya hidup pengguna Malaysia masa kini.
“Sebagai antara pengeluar makanan terkemuka negara, FGV turut menerajui pelbagai jenama pengguna seperti Seri Pelangi, Adela, Premeo dan Gula Prai dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara dengan memastikan rakyat mempunyai akses kepada produk berkualiti, berkhasiat dan mampu milik.
“Menyala Lagi Raya mengangkat tema semangat Raya yang sentiasa menyala dalam setiap rumah,’ katanya.
Turut hadir dalam program tersebut, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad, Datuk Fakhrunniam Othman.
Selain itu, sebagai tunjang utama kempen, Saji turut bakal mempersembahkan sebuah muzikal lagu Raya yang menggabungkan elemen hiburan, emosi dan tradisi dalam penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat.
Lebih daripada sekadar karya kreatif, ‘Menyala Lagi Raya’ mencerminkan komitmen berterusan Saji dalam menyemarakkan sambutan Aidilfitri serta mengukuhkan peranannya sebagai teman setia di dapur rakyat Malaysia.
Menariknya, tahun 2026 dalam majlis yang sama, Saji turut menyaksikan pelancaran maskot rasmi sebagai simbol baharu bagi jenama Saji.
“Maskot yang diberi nama ‘Kak Ji’ ini bukan sekadar watak yang menceriakan, tetapi melambangkan nilai teras Saji iaitu kualiti, kehangatan dan semangat dalam memasak. Ia mencerminkan peranan Saji sebagai keperluan asas dapur yang serbaguna, sentiasa menemani pelbagai jenis masakan serta menjadi sentuhan istimewa yang menyempurnakan setiap hidangan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Saji turut memperkukuhkan kedudukan sebagai pengeluar produk dengan memperkenalkan dua produk terbaharu iaitu Saji Pelengkap Rasa dan Saji Tepung Goreng Serbaguna.-UTUSAN










