IPOH: Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan terdapat beberapa bekas pemimpin Bersatu yang berminat untuk menyertai UMNO.
Menurutnya, namun perkara itu dimaklumkan secara lisan kepadanya dan tiada permohonan rasmi dikemukakan setakat ini.
“Secara lisannya saya dapat beberapa permohonan tapi kita tidak ada kaunter untuk orang mengisi borang. Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat UMNO dan akan lihat bagaimana perkembangannya.
“Saya ada terima permohonan dan sudah bertemu dengan bekas-bekas pemimpin Bersatu. Jadi kita tengoklah. Politik ni sangat dinamik,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 2 Tahun 2026 di sini hari ini.
Katanya, inisiatif di bawah Rumah Bangsa akan dilaksanakan secara lebih aktif selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Individu yang terlibat belum dikenal pasti kerana setakat ini tiada nama dikemukakan.
“Belum ada nama. Sehingga saya dapat nama orang itu, barulah kita boleh maklumkan,” katanya. – UTUSAN










