ALOR SETAR: Kegagalan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri dianggap tidak menghiraukan suara rakyat yang turut mahukan reformasi dalam perkara itu dilaksanakan.
Pengerusi Kelab Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, kesemua Ahli Parlimen yang dipilih rakyat sepatutnya menyokong RUU itu kerana ia adalah langkah yang amat baik terhadap pentadbiran negara.
“Saya agak terkejut bila undian dibuat di Parlimen tidak berjaya. Saya tidak tahulah Ahli-Ahli Parlimen ini pergi ke mana tetapi sepatutnya perkara yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara mereka kena ambil peduli.
“Kalau Perdana Menteri perlukan sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita akan bantu tetapi RUU ini perlu dibentang, dibahas dan dilulus di Parlimen, kami sebagai NGO pun tidak boleh buat apa.
“Namun, di peringkat NGO kita boleh mendesak agar Ahli-Ahli Parlimen ini mengambil serius RUU seperti ini, jangan berseronok sahaja di Parlimen tapi apa yang rakyat minta, kamu duduk diam, tidak sepatutnya begitu,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Zuraidi berkata, kesemua wakil rakyat sepatutnya memiliki semangat kebersamaan dalam perkara yang boleh membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.
Semalam, RUU berkenaan yang dibentangkan gagal mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen. – UTUSAN










