'Rumah Bangsa’ cerminan politik matang

‘Rumah Bangsa’ cerminan politik matang

NABIL Halimi (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak seni  pada Majlis Moreh dan Dialog Santai Pertubuhan Prihatin Suara Anak Kelantan di Cempaka Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Cadangan penubuhan ‘Rumah Bangsa’ mencerminkan kematangan baharu dalam landskap politik negara, selain membuka ruang perbincangan lebih luas mengenai perpaduan dan masa depan bangsa.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, pendekatan tersebut dilihat sebagai usaha mencari titik pertemuan antara parti politik dalam suasana politik semasa yang sering dihimpit polemik serta perbalahan.

Katanya, inisiatif berkenaan juga memberi ruang kepada semua pihak untuk duduk semeja membincangkan isu perpaduan dan kebajikan rakyat, khususnya melibatkan masyarakat Melayu.

“‘Rumah Bangsa’ ini boleh dilihat sebagai satu transisi kematangan politik. Ada keperluan untuk semua pihak duduk bersama dan berbincang soal perpaduan serta masa depan bangsa, terutama orang Melayu di negara ini.

“Walaupun negara ini berbilang kaum dan parti politik juga pelbagai, realitinya majoriti rakyat masih Melayu. Jadi isu seperti kemiskinan dalam kalangan Melayu tidak boleh diketepikan dan perlu diketengahkan,” katanya pada Majlis Moreh dan Dialog Santai anjuran Pertubuhan Prihatin Suara Anak Kelantan di Cempaka di sini, malam tadi.

Nabil berkata, ‘Rumah Bangsa’ juga boleh menjadi platform musyawarah untuk meredakan ketegangan politik yang sering dicetuskan oleh tohmahan dan penyebaran maklumat tidak tepat sehingga berpotensi memecah-belahkan masyarakat.

Katanya, pendekatan tersebut wajar dimanfaatkan sebagai medan perbincangan terhadap pelbagai isu nasional yang sensitif termasuk melibatkan agama dan kaum.

“Malah kita melihat Kerajaan Perpaduan hari ini sendiri menunjukkan kematangan politik apabila parti-parti seperti PKR, UMNO, DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu duduk bersama demi kestabilan negara.

“Konsep ‘Rumah Bangsa’ juga berpotensi menjadi ruang dialog lebih terbuka dalam kalangan parti yang mewakili masyarakat Melayu bagi membincangkan isu bangsa secara konstruktif,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN