PETALING JAYA: Pelakon, Ruhainies kembali menjadi sasaran kecaman warga maya gara-gara tindakannya yang menyiarkan semula (repost) hantaran seorang individu di laman Threads, baru-baru ini.
Ramai mempersoalkan niat dan kewajaran tindakan pelakon itu yang menyiarkan semula hantaran berbaur sindiran tersebut tidak lama selepas pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengikat tali pertunangan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
“Kau tak payah ‘repost’ sindir orang. Semak betul nak ‘repost’ hantaran sindiran masa Bella bertunang,” tegur salah seorang warganet.
Terdahulu, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas diserang netizen susulan tindakannya menyiarkan semula hantaran seorang pengguna Threads.
Ramai yang membuat andaian hantaran itu seakan-akan menyindir Bella yang sebelum ini rumah tangganya musnah selepas bekas suaminya, Aliff Aziz ditangkap khalwat dengan Ruhainies.
“Kasihan tengok yang 100 peratus percaya seseorang itu jauh lebih baik dari bekas suami dia, padahal 2×5 sahaja,” kata individu berkenaan.
Ruhainies bagaimanapun bertindak memadam perkongsian itu dari laman Threadnya.
Bella pada Sabtu lalu sah bergelar tunangan Syed Saddiq selepas keduanya dikatakan mula rapat sejak awal tahun lalu.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah dan Aliff bercerai talak satu buat kali kedua pada Jun 2024. Bekas pasangan suami isteri itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.- UTUSAN










