Walaupun masih diselubungi kesedihan akibat tragedi kebakaran yang meragut nyawa lima anggota keluarga mereka, dua beradik, Ruby Adakia Balqis Mohd Alawi, 19, dan adiknya Ahmad Balia Marqam, 15, tetap menunjukkan semangat apabila kembali ke sekolah bagi meneruskan pelajaran.
Ruby Adakia Balqis kembali menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Gambang, Pahang manakala adiknya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong Raub selepas dijemput guru kaunseling sekolah masing-masing.
Kedua-dua mereka dilihat teruja untuk kembali ke sekolah walaupun masih bersedih mengenangkan kehilangan ibu bapa serta adik-beradik dalam tragedi kebakaran di
Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong pada penghujung Februari lalu.
Suasana di sekolah juga menjadi penawar duka apabila guru serta rakan-rakan tampil memberikan sokongan moral dan kata-kata semangat agar mereka terus tabah menghadapi ujian hidup.
Kini Ruby dan Ahmad Balia tinggal bersama bapa saudara mereka, Mohd Azmi Adam, 40, dan isterinya Roslina Yusof, 38, bagi mendapatkan sokongan emosi serta perlindungan selepas tragedi tersebut.
Menurut Mohd Azmi, sebelum kembali ke asrama masing-masing, kedua-dua beradik itu sempat menziarahi pusara ibu bapa serta adik-beradik mereka di Tanah
Perkuburan Islam Kampung Gelugor, Pamah Kulat, Ulu Dong.
“Emosi mereka semakin stabil, namun kedua-duanya masih banyak mendiamkan diri kerana masih terkenangkan orang tersayang, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Tamalian, Pamah Kulat Raub baru-baru ini.
Tambahnya, kedua-dua beradik itu juga tidak terfikir untuk membuat sebarang persiapan menyambut Aidilfitri kerana bagi mereka, hari raya tidak lagi membawa makna tanpa keluarga di sisi.
“Kami sekeluarga merancang untuk menziarahi pusara mereka pada hari pertama Aidilfitri nanti,” ujarnya. –UTUSAN










