Rosmah gagal cubaan singkir hakim

Rosmah gagal cubaan singkir hakim

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini semalam menolak rayuan akhir Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan hakim bicara kes rasuah bagi projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dengan keputusan tersebut, rayuan berkait dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tuduhan tersebut akan didengar tidak lama lagi.

Pengurusan kes bagi rayuan berhubung sabitan salah dan hukuman ditetapkan pada 4 Mac ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman tersebut pada pada 1 September 2022.

Rosmah memfailkan permohonan agar hakim itu menaik diri daripada mendengar kes berkenaan atas alasan berlaku kebocoran penghakiman Hakim Mohamed Zaini tular di media sosial.

Pada 17 September 2025, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini daripada terus mendengar kes rasuah projek solar itu selepas mendapati ia tidak mempunyai sebarang merit.

Pada prosiding semalam, keputusan menolak rayuan berkait penyingkiran hakim itu dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar.

Menurut penghakiman ringkas, panel hakim terbabit mendapati Hakim Mohamed Zaini telah mematuhi Kod Etika Kehakiman 2009 dan tiada sebarang kekhilafan berlaku yang mewajarkan campur tangan mahkamah tertinggi itu.

Hakim Nordin berkata, kewujudan draf penghakiman bukan subjek pertikaian kerana isu utama adalah sama ada wujud elemen berat sebelah yang kononnya telah dirujuk oleh hakim bicara dalam draf penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga.

Bagaimanapun, selepas meneliti kedua-dua penghakiman tersebut, panel terbabit mendapati terdapat perbezaan ketara antara draf penghakiman yang disediakan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Perkara ini perlu dibuktikan oleh pemohon dan ditentukan oleh hakim bicara berdasarkan pengetahuannya terhadap fakta kes.

“Ini bukan sekadar pertikaian fakta biasa antara kedua-dua pihak dalam sesuatu kes. Ini merupakan suatu permohonan yang menuduh hakim bicara dan beliau berhak untuk menafikan dakwaan berdasarkan pengetahuan peribadinya.

“Mahkamah merumuskan hakim bicara telah menyediakan sendiri alasan penghakiman tanpa bergantung kepada pendapat atau penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN