Ronald Kiandee digantung keahlian Bersatu dua penggal - Utusan Malaysia

Ronald Kiandee digantung keahlian Bersatu dua penggal

MPT Bersatu
RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee digantung hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh dua penggal pemilihan berkuat kuasa hari ini.

Menurut surat rasmi Lembaga Disiplin Bersatu, tindakan itu dibuat kerana Ronald didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti.

Dengan penggantungan itu, beliau secara automatik dilucutkan semua jawatan yang dipegang dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, penggantungan itu menimbulkan persoalan kerana sekiranya kesalahan dilakukannya serius, tindakan pemecatan seharusnya diambil.

Katanya, beliau telah menganjurkan program Reset dan turut hadir bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok, Thailand.

“Jika benar ia satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat? Keputusan ini menguatkan persepsi Lembaga Disiplin Bersatu kini digunakan sebagai alat politik untuk melindungi Presiden dan kelompok tertentu dalam parti, memandangkan lembaga itu dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan kepimpinan tertinggi parti.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, hala tuju parti semakin tersasar apabila segala tindakan seolah-olah tertumpu kepada satu matlamat iaitu mengangkat Presiden, Tan Sri Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri Ke-11.

“Siapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda ini akan disingkirkan. Lembaga Disiplin dijadikan alat paling ampuh untuk melaksanakan tindakan tersebut. Malah, ia pernah menimpa beberapa pemimpin parti sebelum ini, termasuk Datuk Seri Hamzah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ronald berkata, wujudnya puak ‘ya-Presiden’ dalam Bersatu kerana sebahagian individu dilantik oleh Presiden iaitu kalah dalam pemilihan tetapi dimenangkan oleh Muhyiddin.

Beliau berkata, terdapat juga sebahagian individu yang dijanjikan watikah calon, sekali gus menjadikan kesetiaan sebagai perkara wajib bagi mereka.

“Akhirnya yang tinggal hanyalah mereka yang sentiasa berkata ‘ya’ kepada Presiden. Saya menyertai parti ini dahulu kerana percaya ia adalah wadah perjuangan, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.

“Namun, apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut. Saya tidak akan merayu. Anggap sahaja tempoh rayuan telah tamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN