Rivertree STF raih kontrak juta bina kuarters pekerja - Utusan Malaysia

Rivertree STF raih kontrak juta bina kuarters pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rivertree STF Synergies Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, RSSB Builders Sdn. Bhd., menerima surat anugerah (LOA) bernilai RM2.26 juta daripada Q Centre (Teratai) Sdn. Bhd. bagi kerja pembinaan kuarters pekerja.

Kontrak tersebut melibatkan kerja tanah, cerucuk serta pile cap bagi pembangunan dua blok kuarters pekerja yang mampu menempatkan sehingga 4,560 katil, termasuk kemudahan gimnasium dan sebuah kedai.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh lima bulan dengan tarikh mula pada 3 Februari 2026 dan siap sepenuhnya menjelang 30 Jun 2026.

“Kontrak ini adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa kumpulan dan dijalankan berdasarkan terma komersial yang setara dengan pasaran,” menurut kenyataan itu.

Syarikat turut menjelaskan bahawa projek tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, termasuk meningkatkan pendapatan sesaham (EPS) serta nilai aset bersih.

Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan kepada struktur modal saham atau pegangan pemegang saham utama.

Dari sudut risiko, Lembaga Pengarah tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi dan pelaksanaan projek yang lazim dalam sektor pembinaan.

“Langkah pemantauan rapi akan dilaksanakan bagi memastikan projek berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Sebagai rekod, Q Centre (Teratai) Sdn. Bhd. merupakan syarikat pegangan pelaburan yang ditubuhkan pada Ogos 2023 dengan modal saham terbitan berjumlah RM1 juta.

Dalam masa sama, beberapa pengarah dan pemegang saham utama Rivertree STF mempunyai kepentingan dalam syarikat pemberi kontrak tersebut, namun mereka telah berkecuali daripada sebarang perbincangan dan keputusan berkaitan projek itu.

Dalam tempoh 12 bulan lalu, kumpulan itu turut terlibat dalam perjanjian kerjasama awal bagi pembangunan kuarters pekerja berskala besar dengan kapasiti sehingga 28,800 katil, dengan nilai indikatif sekitar RM600 juta, meskipun perjanjian muktamad masih belum dimeterai.

Lembaga Pengarah berpendapat penerimaan kontrak ini adalah dalam kepentingan terbaik syarikat dan tidak menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN