KUALA NERUS: Teka teki kehilangan remaja lelaki, Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands, Pahang sejak Khamis lalu terjawab apabila ditemukan maut akibat terbabas tidak jauh dari Beting Lintang , Besut, dekat sini.
Ibu saudaranya, Noriza Awang, 50, mengesahkan perkara itu dan memberitahu keluarga reda menerima berita itu.
Ahmad Azreeq Zafreen yang menunggang motosikal jenis Yamaha R15 dilaporkan kali terakhir dikesan di stesen minyak Petron Benting Lintang, Besut sebelum kehilangan jejak.
Kehilangan remaja itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga yang berharap sebarang petunjuk baharu dapat diperoleh bagi membantu mengesan keberadaannya.
Menurut Noriza, adiknya, Zaleha Awang bersama suaminya, Ahmad Azhar Mohamad Yusof ,59, dan lima anak mereka mahu bercuti ke Cameron Highlands sempena cuti panjang hujung minggu.
Katanya, mereka bersama empat anak menaiki kereta manakala Ahmad Azreeq Zafreen menunggang motosikal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab. Rahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang lelaki bersama motosikal dipercayai Ahmad Azreeq Zafreen di Kampung Bukit Jeruk, di sini, kira-kira pukul 6.40 petang.
“Susulan itu, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki.
” Mayat tersebut dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat, ” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu polis mengesahkan remaja lelaki yang dilaporkan hilang sempat singgah di stesen minyak Petron di Kampung Benting , sebelum gagal dihubungi oleh pihak keluarga. – UTUSAN










