KAJANG: Pelakon dan usahawan, Wawa Zainal mengakui berasa bersalah apabila jadual kerja yang padat menyebabkan dia kurang meluangkan masa bersama empat orang anaknya.
Menurut Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 34, kesibukan menguruskan perniagaan selain kerap mengadakan sesi siaran langsung membuatkan dia dan suami, Aeril Zafrel sering pulang lewat sehingga tidak sempat memberi perhatian secukupnya kepada keluarga.
“Tahun ini agak penat kerana saya dan suami kerap membuat sesi siaran langsung dan sebagainya. Jadual juga sangat padat.
“Kadang-kadang anak sendiri menegur, ‘Mama dan Ayah dah lama tak cakap sayang kepada kami’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan sambutan hari jadinya bersama anak-anak yatim di Teratak Amandari Homestay, di sini, semalam.
Tambah pelakon Sabda Kekasih itu, luahan jujur daripada anak-anak memberi tamparan hebat kepadanya sehingga membuatkan dia belum merancang untuk menambah cahaya mata dalam masa terdekat.
“Itu antara sebab saya belum mahu menambah anak buat masa ini. Dengan anak-anak yang ada sekarang pun saya masih rasa sangat bersalah kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Wawa berkata, walaupun sering dilihat sebagai usahawan berjaya, dia mengakui kadangkala berasa cemburu melihat wanita yang bergelar suri rumah kerana dapat membesarkan anak-anak di depan mata.
“Orang nampak bila jadi usahawan semuanya ada. Tetapi dalam masa sama saya rasa seronoknya jadi suri rumah kerana boleh meluangkan masa lama dengan anak-anak. Masing-masing ada cabaran sendiri.
“Saya pula mempunyai pasukan yang besar dan ramai yang bergantung kepada perniagaan ini,” katanya.
Menjelang sambutan Syawal, Wawa mengakui perlu bekerja lebih keras bagi menyiapkan pelbagai tempahan raya selain memastikan emosi kakitangannya sentiasa terjaga.
Bagaimanapun, bagi menebus masa yang terhad bersama keluarga, dia merancang membawa mereka bercuti selepas Aidilfitri.
“Saya biasanya akan membawa mereka bercuti untuk menebus rasa bersalah itu. Selepas raya ketiga, kami akan ke Pulau Tioman.
“Kali ini kami bawa sekali keluarga besar seramai 40 orang. Memang sukar untuk ke luar negara kerana jumlah yang ramai, jadi bercuti dalam negara pun sudah memadai untuk kami berkumpul,” katanya.
Mengulas harapannya selepas menjejaki usia 34 tahun, Wawa berkata dia berazam menjadi isteri yang lebih baik kepada suaminya, meningkatkan jumlah zakat yang dikeluarkan setiap tahun.
“Memang salah satu impian saya adalah untuk menambah jumlah zakat setiap tahun. Maksudnya, setiap tahun ada peningkatan.
“Kami sudah tiga tahun mengekalkan jumlah yang sama, jadi insya-Allah tahun hadapan kami sasarkan untuk menambah lagi memandangkan perniagaan juga semakin berkembang,” katanya.
Terdahulu, Wawa meraikan ulang tahun kelahirannya dengan menyantuni anak-anak yatim serta mengadakan sesi ceramah yang disampaikan oleh pendakwah popular, Ustazah Asma Harun. -UTUSAN










