SUNGAI BULOH: Ahli perniagaan, Victor Chin dicabar untuk menamakan siapa ahli Parlimen yang didakwa menerima RM9.5 juta untuk menyelesaikan isu mafia korporat.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan berkata, dakwaan yang mengaitkan dirinya tidak berasas kerana beliau langsung tidak mengenali Victor.
Katanya, beliau menafikan dirinya merupakan ‘Mr. R’ seperti didedahkan Victor kononnya menerima dana daripada ahli perniagaan itu.
“Bagaimana saya boleh ambil duit daripada dia kerana saya tidak pernah berjumpa dengan individu ini dan tidak kenal? Ini korporat syaitan yang cuba memanipulasi keadaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Sebelum ini, Victor atau nama sebenarnya Chin Boon Loong dalam dokumen setebal 40 muka surat memperincikan kronologi seorang ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta untuk menyelesaikan isu mafia korporat, namun dia hanya mampu menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.
Katanya, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kerana isu itu tidak diselesaikan seperti dijanjikan.
Dakwaan mafia korporat berkisar mengenai pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatur kempen intimidasi, memberi tekanan kepada eksekutif dan pemegang saham syarikat awam yang tersenarai untuk meletak jawatan atau menjual saham mereka pada harga diskaun yang tinggi kepada rangkaian ahli perniagaan yang mempunyai hubungan.
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli turut menafikan dakwaan tersebut secara berseloroh bahawa beliau ‘menerima’ pertambahan lemak badan, gara-gara sambutan Hari Raya Aidilfitri, bukannya wang tunai seperti didakwa.
Ramanan berkata, Victor perlu menamakan secara jelas supaya tindakan boleh diambil.
“Victor Chin telah mengeluarkan kenyataan tentang beberapa watak Mr. R, jangan main teka-teki. Sebut nama terus, baru boleh saman. Baru boleh bukti benar atau tidak, ini isu korporat mafia yang sedang hangat dimainkan.
“Ini naratif kotor untuk tekan PKR, ahli Parlimen dan kerajaan,” katanya. – UTUSAN










