Ramadan temukan Pak Teh dengan dua kasih ibu bapa 

Ramadan temukan Pak Teh dengan dua kasih ibu bapa 

ABU Kassim Jantan tidak pernah lupa mendoakan kedua-dua ibu bapanya sama ada yang melahirkan mahupun yang membesarkannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Ramadan bukan sekadar bulan ibadah tetapi waktu merenung erti kasih sayang dan susur galur keluarga buat Abu Kassim Jantan, 74, atau lebih dikenali sebagai Pak Teh dari Kampung Mambang Berulang, di sini.

Dibesarkan sebagai anak angkat selepas ibu bapanya, Ishak Awang Saaya dan Sewok Jenal, berpisah sebelum kelahirannya, Aziz yang dilahirkan pada 1953 diserahkan kepada sahabat keluarga, Jantan Taib serta isterinya, Saadiah Ismail yang ketika itu belum dikurniakan anak.

Bagi Abu Kassim yang juga mesra dipanggil sebagai Aziz Ishak oleh penduduk kampung tersebut, pengalaman hidupnya membuktikan bahawa kasih sejati tidak semestinya terikat pada pertalian darah semata-mata.

“Mereka (ibu bapa angkat) membesarkan saya seperti anak sendiri di Kampung Lubuk Kawah. Kehidupan kampung ketika itu serba sederhana, jalan raya pun belum sempurna,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Abu Kassim berkata, dia hanya mengetahui hakikat dirinya sebagai anak angkat ketika berusia lapan tahun iaitu semasa belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pulai.

“Ketika itu bulan Ramadan. Kawan-kawan sekolah selalu mengejek saya sebagai anak angkat. Saya pulang ke rumah dan bertanya kepada mak angkat siapa sebenarnya ibu bapa saya. Dari situlah mak angkat menceritakan perkara sebenar,” katanya.

Katanya, dia kemudian bert­ekad berjalan kaki seorang diri pada bulan Ramadan untuk menemui ibu bapanya yang sebenar semata-mata mahu mengenali mereka dengan lebih dekat.

“Saya hanya mahu merasai kasih sayang daripada kedua-duanya. Pertemuan itu menjadi titik penting dalam hidup saya kerana sejak itu saya belajar menerima bahawa saya mempunyai dua keluarga yang sama-sama menyayangi saya,” katanya.

Katanya, walaupun tidak mahu memalsukan keturunan, dia juga tidak akan melupakan jasa mereka yang membesarkannya.

“Ayah angkat tetap ayah saya, ayah sebenar juga ayah saya,” ujarnya.

Menurutnya, kini dia sudah hidup tenang bersama keluarga besar apabila dikurniakan sembilan anak, 27 cucu dan seorang cicit.

“Setiap kali Ramadan menjelma, saya tidak pernah lupa mendoakan kedua-dua ibu bapa, baik yang melahirkan mahupun yang membesarkan saya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×