Rakyat diajak bercucuk tanam, kurangkan kebergantungan makanan import

Rakyat diajak bercucuk tanam, kurangkan kebergantungan makanan import

MOHAMAD Sabu menyeru rakyat Malaysia bercucuk tanam sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan import susulan konflik di Asia Barat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia diseru untuk memanfaatkan ruang yang ada di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan import susulan konflik di Asia Barat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan dunia pada hari ini dan konflik geopolitik di Asia Barat bukan sekadar isu luar negara tetapi ia turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.

Kata beliau, walaupun kesan itu tidak nampak secara langsung tetapi impaknya boleh sampai ke meja makan.

“Sebab itu Bang Mat nak ajak semua, kalau ada ruang walaupun kecil di rumah, tanamlah apa yang mampu. Cili, sayur, ulam.

“Sedikit sebanyak boleh bantu kurangkan kebergantungan dan dalam masa sama jadi satu usaha yang bermanfaat untuk keluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Mohamad berkata, kerajaan akan terus memperkukuh sistem makanan negara, memastikan bekalan mencukupi dan akses kepada rakyat sentiasa terjamin.

Katanya, tanggungjawab itu sedang dan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan demi kepentingan rakyat.

“Yang penting, kita sama-sama ambil peranan. Mulakan dengan apa yang ada. Insya-Allah, usaha kecil hari ini akan jadi kekuatan besar untuk masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN