Konflik Asia Barat: Taklimat khas platform suarakan isu dihadapi rakyat

Konflik Asia Barat: Taklimat khas platform suarakan isu dihadapi rakyat

ASYRAF Wajdi Dusuki dan Salbiah Mohamed menyantuni pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Arena Dato' Hasbullah di Gerik hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Taklimat khas melibatkan pemimpin negeri dan parti politik bagi membincangkan implikasi susulan ketidaktentuan di Asia Barat merupakan platform terbaik untuk menyuarakan pelbagai perkara yang menjadi keutamaan rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif tersebut juga mampu membuka ruang perbincangan lebih menyeluruh dan berkesan.

Katanya, dalam situasi semasa negara berdepan cabaran global, pelbagai pihak menantikan perancangan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Saya kira dengan keadaan peperangan yang tidak tahu bila akan berakhir, ia secara langsung memberi kesan kepada rakyat terutama apabila peningkatan kos sara hidup yang dirasai ketika ini dijangka membawa kesan besar.

“Keadaan ini tentunya memerlukan intervensi daripada kerajaan dan bagi pihak UMNO, kami akan memanfaatkan pertemuan bersama Perdana Menteri pada minggu depan untuk mengemukakan cadangan.

“Cadangan-cadangan yang akan dikemukakan nanti adalah supaya setiap tindakan dan perancangan memberi keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor di Dewan Arena Dato’ Hasbullah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, ADUN Temengor merangkap Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.

Mengulas lanjut beliau berkata, UMNO akan memainkan peranannya sebagai jurubicara atau lidah penyambung dalam menyuarakan segala isu dihadapi rakyat ketika ini.

“Sebab itu saya katakan platform minggu depan adalah yang terbaik dalam kita menyuarakan apa sahaja yang menjadi keutamaan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, mengulas gesaan pembangkang untuk Sidang Khas Dewan Rakyat dipanggil bagi membincangkan kesan peperangan antara Israel dan Amerika Syarikat dengan Iran terhadap Malaysia, beliau menegaskan, ketika ini keutamaan adalah tindakan segera, bukannya perbincangan atau persidangan.

“Paling penting, kita mahu mengetahui tindakan segera kerajaan kerana kesannya sudah dirasai rakyat dan perkara itu jauh lebih mustahak daripada perbalahan di Parlimen,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN