KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat sunat Istisqa di Dataran Istiadat, Istana Arau di sini semalam.
Ia sebagai usaha memohon hujan dan meredakan ujian sedang dihadapi rakyat berikutan situasi kemarau dan cuaca panas yang semakin meruncing di Perlis ketika ini.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Solat bermula pada pukul 8 pagi itu diimamkan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Ahmad Sirajuddin Abdul Satar dan disusuli penyampaian khutbah.
Solat al-Istisqa adalah satu ikhtiar dilaksanakan bagi memohon rahmat hujan daripada Allah SWT susulan keadaan kemarau dan cuaca panas berterusan ketika ini.
Selain sebagai usaha memohon hujan, ia juga membawa mesej yang lebih mendalam sebagai satu seruan kepada seluruh umat Islam untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaiki amalan, serta bermuhasabah diri.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, solat sunat tersebut dilaksanakan atas titah Tuanku Syed Sirajuddin susulan daripada keadaan cuaca panas di negeri ini yang masih berterusan.
Katanya, seluruh negeri ini juga akan melaksanakan doa Istisqa dalam khutbah Jumaat bermula esok.
“Dalam masa sama, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut mengingatkan seluruh umat Islam untuk mengulangi bacaan doa Istisqa supaya Allah SWT mengurniakan hujan. Ini juga merupakan salah satu ikhtiar untuk kita berdoa dalam menghadapi musibah ini,” katanya.
Sementara itu, seorang penuntut Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Mohd Faizul Razali, 23, berkata, pelaksanaan solat sunat itu adalah usaha bagi memohon petunjuk Allah SWT agar dapat mengurangkan musibah melanda negeri ini.
“Harapan saya solat sunat ini boleh mengangkat dan mengurangkan risiko yang boleh meragut nyawa orang ramai,” katanya. –UTUSAN











