SANDAKAN: Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyantuni anggota keselamatan Tentera dan Polis yang bertugas di perairan Pantai Timur Sabah sempena Ramadan masuk tahun ke-20.
Antara pulau yang dikunjungi sempena Program Eksesais Perlis-Sabah (Eks PERBAH) 2026 kali ini yang diadakan bersekali dengan Sambutan Hari Tentera Darat Malaysia ke-93 ialah Pulau Lankayan, Pulau Bakungan Kecil, Pulau Libaran dan Pulau Berhala.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Tentera Darat bertitah, usaha mempertahankan negara tidak seharusnya digalas oleh sektor ketenteraan semata-mata.
Sebaliknya, ia menuntut sokongan dan dokongan padu seluruh lapisan masyarakat bagi membentuk sebuah sistem pertahanan yang menyeluruh, bersepadu serta berdaya tahan.
Titah baginda, Malaysia perlu terus mengamalkan pendekatan pertahanan bercorak defensif yang menekankan pemeliharaan keamanan, kestabilan dan kedaulatan negara sebagai teras utama.
“Dalam mendepani era cabaran global yang semakin kompleks dan tidak menentu, pembangunan pertahanan perlu dirangka secara teliti, strategik dan berpandangan jauh kerana sebarang kelemahan atau kekhilafan berpotensi membawa implikasi besar terhadap keselamatan nasional”, titah baginda lagi.
Tuanku Raja Muda turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang sanggup mengorbankan masa, tenaga malah nyawa demi memastikan keamanan negara terus terpelihara. Kesetiaan, keberanian dan komitmen tinggi mereka menjadi tunjang utama kepada kesejahteraan serta keselamatan rakyat.
Mengiringi baginda ialah Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar, Timbalan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Brigedier Jeneral Fissol Abd Hadi, serta Komander Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Brigedier Jeneral Abd Munir Abdul Rani.
Dalam lawatan tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Perlis, MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta rakan-rakan strategik yang turut serta kepada pos-pos operasi sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas khidmat bakti para anggota pasukan keselamatan demi mempertahan kedaulatan negara tercinta.-UTUSAN










