KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli diakui menjadi liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) dari sudut persepsi politik dan kepimpinan di dalam negara semata-mata bagi menampakkan beliau di kerusi neutral.
Exco AMK Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, beliau juga tidak teragak-agak untuk bersetuju melabelkan bekas Timbalan Presiden PKR itu sebagai suka mencari perhatian atau ‘attention seeker’ yang mahukan lensa media tertumpu kepadanya dan mahu rakyat menggelarkannya sebagai orang yang berani mengkritik kerajaan.
Sedangkan, katanya, sewaktu di kerusi Menteri, beliau dilihat hanya berdiam dan kelu lidah untuk mengkritik dasar yang kerajaan lakukan ketika itu.
“Kita juga tidak boleh menafikan bahawa Rafizi memang mempunyai gaya politik ‘diva’ yang cenderung untuk bersuara secara terbuka walaupun terhadap rakan dalam kerajaan sendiri.
“Dalam suasana politik hari ini, kestabilan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan sangat penting. Apabila terlalu banyak kritikan terbuka terhadap pimpinan sendiri, termasuk terhadap Perdana Menteri, ia sedikit sebanyak boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Profesor Dr Tajuddin Rasdi berkata, Rafizi disifatkan sebagai liabiliti bukan sahaja kepada PH, malah kepada landskap politik negara ketika ini.
Tajuddin Rasdi berkata, Rafizi yang sebelum ini dianggap aset kepada PH kini dilihat sukar bekerjasama dengan mana-mana pihak, sedangkan realiti politik semasa menuntut kerjasama dalam kerajaan campuran.
Dalam pada itu, Dzul Hilmi berkata, politik bukan sekadar siapa paling lantang, tetapi juga soal strategi dan masa.
Katanya, jika setiap isu dalaman dibuka kepada umum tanpa kawalan, akhirnya naratif itu akan dimanfaatkan oleh pihak lawan untuk melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Apa yang lebih penting sekarang ialah disiplin dalam kerajaan dan kesatuan dalam menyampaikan mesej kepada rakyat di mana mandat sekarang berada di tangan yang betul.
“Kita boleh lihat hasil impak ekonomi di dalam negara kita tatkala banyak negara luar terperangkap di dalam kemelut perang, tetapi tidak bagi Malaysia yang berjaya memastikan subsidi dan bekalan persiapan Aidilfitri untuk rakyat kekal tidak terjejas,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, parti tidak boleh masuk ke gelanggang PRU16 dalam keadaan berpecah dari segi naratif kerana rakyat tidak menilai siapa paling lantang dan betul tetapi rakyat menilai siapa menjamin kestabilan dan mampu mentadbir negara.
“Perangai yang saya gelar sebagai Diva yang sentiasa merasa diri betul ini bahaya, dan akan merosakkan parti sehingga mencetus perbalahan dalaman yang mengakibatkan perpecahan dalaman lebih kritikal.
“Sebaiknya Rafizi perlu kenang jasa Datuk Seri Anwar yang memberikan peluang untuk kepada beliau masuk ke arena politik tanah air dengan penuh rasa ‘Sedar Diri’.” Katanya. – UTUSAN










