BUKIT MERTAJAM : Harga bagi pelbagai barang keperluan harian menjelang Aidilfitri di negeri ini dijamin masih dalam keadaan terkawal meskipun krisis yang melanda Asia Barat telah menyebabkan berlaku ketidaktentuan terhadap pasaran global ketika ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, jaminan itu diberikan hasil pemantauan harian yang dilaksanakan oleh pihaknya dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama, Jegan berkata, KPDN negeri juga belum menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga serta kekurangan barang kawalan di pasaran ketika ini.
“Apapun, berdasarkan pemantauan yang kita lakukan terhadap barang keperluan seperti minyak, gula, tepung dan beras, saya rasa harga agak terkawal berbanding sebelum-sebelum ini (menjelang sambutan Aidilfitri). Begitu juga dengan petrol dan sebagainya.
“Walaupun dalam keadaan macam-macam yang sedang dihadapi oleh dunia ketika ini, kita masih berusaha untuk pastikan harga barang keperluan sentiasa terkawal,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa mengadakan tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri di Pasar Awam Seberang Jaya di sini, hari ini.
Bagi Pulau Pinang, sebanyak 23 item dipantau sepanjang pelaksanaan skim tersebut termasuk bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih Cina, cili kering kerinting, cili merah, daging kerbau import, daging lembu tempatan, ikan kembung, ikan selayang dan sebagainya.
Tempoh pelaksanaan SHMMP pula adalah selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
Sementara itu, Jegan memberitahu, pihaknya hanya menerima dua aduan sahaja membabitkan peniaga di bazar Ramadan setakat ini yang melibatkan kesalahan tidak meletakkan tanda harga.
Untuk rekod, seramai 137 anggota penguat kuasa dan 57 pegawai pemantau harga (PPH) telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah tertentu di negeri ini bagi membantu serta melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang tidak beretika.-UTUSAN










