PRN Melaka dijangka dalam tempoh 6 bulan – Ab Rauf Yusoh - Utusan Malaysia

PRN Melaka dijangka dalam tempoh 6 bulan – Ab Rauf Yusoh

Rauf Yusoh berbual mesra dengan petugas media berucap pada Majlis Moreh Ketua Menteri bersama Media Melaka di Peringgit malam tadi. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak mungkin dibuat pada 30 Disember tahun ini iaitu tarikh tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata, jika pembubaran DUN tersebut dibuat pada 30 Disember tidak mungkin PRN akan diadakan pada bulan puasa yang dijadualkan pada Januari tahun depan.

“Seperti yang saya katakan PRN Melaka tetap diadakan tahun ini tetapi tarikhnya saya belum mendapat ilham. Tetapi tarikh akhir pentadbiran kerajaan negeri tamat tempoh pada 30 Disember ini.

“Apa yang pasti PRN akan diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang dan tidak mungkin sampai cukup tempoh…saya minta banyak bersabar,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Moreh Ketua Menteri bersama Media Melaka di sebuah restoran di Peringgit malam tadi.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook agar Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) diadakan secara serentak dengan PRN di Johor, Melaka dan Sarawak bagi menjimatkan kos pilihan raya beliau berkata, siapa sahaja boleh memberi cadangan.

“Cadangan namanya cadangan tetapi keputusannya tidak ada,” katanya.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi PRN, katanya, kerajaan negeri bersedia berdasarkan beberapa pencapaian yang direkodkan sepanjang tempoh pentadbirannya yang akan genap tiga tahun pada 31 Mac ini.

“Melaka sudah bersedia menghadapi PRN berdasarkan kejayaan yang dicapai sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, sepanjang hampir tiga tahun menerajui pentadbiran negeri, pelbagai inisiatif dan dasar telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan ekonomi negeri.

Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah program turun padang seperti Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta Hari EXCO Bertemu Rakyat (Hebat).

Katanya, kedua-dua program tersebut berjaya memberi ruang kepada pemimpin kerajaan negeri menyantuni rakyat secara langsung selain membantu menyelesaikan pelbagai isu berkaitan perkhidmatan kerajaan. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN