Presiden Pas seru bermaafan sempena Aidilfitri - Utusan Malaysia

Presiden Pas seru bermaafan sempena Aidilfitri

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hari Raya Aidilfitri perlu disambut dengan penuh kesyukuran, memperbanyak takdbir membesarkan Allah SWT dan mengeratkan silaturrahim dengan saling mernaafan antara satu saman lain.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sambutan Aidilfitri perlu dijadikan sebagai titik permulaan untuk terus istiqamah dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan larangannya.

“Bagi pihak Pas, saya dengan penuh rasa kesyukuran ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di mana jua berada.

“Mudah-mudahan kita semua dikurniakan keampunan, rahmat dan keberkatan serta terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT,” katanya menerusi perutusan Aidilfitri Presiden Pas.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Ramadan merupakan madrasah yang mentarbiah roh, jasad dan akal agar tunduk serta patuh kepada perintah Allah SWT.

Katanya, tarbiah itu melahirkan insan yang mempunyai kekuatan iman, memperkukuh hubungan dengan Allah serta membina akhlak yang mulia dalam kehidupan bermasyarakat.

“Bulan Ramadan juga mengajar kita erti keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan melalui amalan infaq, sedekah dan zakat fitrah.

“Ia menjadi asas dalam membina masyarakat yang bersatu padu, saling membantu dan memperkukuh ukhuwah Islamiah tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Menurut beliau, dalam suasana umat Islam yang berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada dari sudut pemikiran, ekonomi mahupun geopolitik maka menjadi kewajipan kepada semua untuk terus berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sempurna.

“Sesungguhnya, kemenangan yang sebenar bukan hanya di dunia, tetapi apabila kita berjaya mempertahankan iman dan istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN