PUTRAJAYA: Kerajaan menilai potensi dan kebolehlaksanaan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik negara sejajar dengan perubahan lanskap tenaga global yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik serta ketidakstabilan bekalan dan harga bahan api.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penerokaan potensi tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik negara adalah satu langkah strategik bagi memastikan keterjaminan tenaga jangka panjang.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, inisiatif ini di samping menyokong aspirasi peralihan tenaga bersih negara sebagaimana turut digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Ketegangan di Asia Barat, termasuk gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga strategik seperti Teluk Hormuz, telah memberikan kesan negatif kepada pasaran dan perbekalan tenaga global.
“Dalam konteks ini, tenaga nuklear dilihat berupaya menyediakan penjanaan beban asas (base-load) yang stabil dan rendah karbon, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadillah, beberapa negara ASEAN turut menilai semula peranan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian sumber tenaga.
Katanya, Filipina menyasarkan pembangunan tenaga nuklear berkapasiti sehingga 4,800 Megawatt menjelang 2050, manakala Vietnam telah memasukkan semula tenaga nuklear dalam pelan pembangunan tenaga negara.
Pada masa sama, katanya, Indonesia juga sedang meneroka potensi penggunaan reaktor modular kecil (SMR) termasuk reaktor terapung sebagai penyelesaian tenaga bersih yang fleksibel untuk negara kepulauan, dengan sasaran menjelang 2030.
“MyPOWER Corporation selaku agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), dilantik sebagai Nuclear Energy Programme Implementing Organisation (NEPIO) untuk meneraju dan menyelaras usaha persediaan pembangunan program tenaga nuklear negara berpandukan pendekat berfasa oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Pada masa ini, MyPOWER sedang melaksanakan penilaian menyeluruh merangkumi pembangunan dasar, pengukuhan rangka kerja perundangan dan kawal selia, penilaian pembangunan projek dan penyertaan industri tempatan.
“Ia di samping memperkukuh penglibatan pihak berkepentingan serta pembangunan modal insan,” katanya.
Beliau menjelaskan, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah memastikan sebarang pertimbangan berkaitan pembangunan tenaga nuklear pada masa hadapan dilaksanakan secara teliti.
Ini berasaskan analisis teknikal yang komprehensif serta selaras dengan keutamaan pembangunan negara dan obligasi antarabangsa Malaysia, kata Fadillah. – UTUSAN











