KUALA LUMPUR: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes samun berkumpulan di Gombak membabitkan enam lelaki termasuk tiga penjawat awam pada 27 Februari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya dalam tindakan mengemas kini kertas siasatan bagi melengkapkan siasatan.
“Kita dalam tindakan kemas kini (kertas siasatan). Apabila ia dilengkapkan, kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan enam suspek terdiri daripada tiga polis dan tiga orang awam itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Jumaat lalu, media melaporkan dua pegawai kanan dan seorang anggota polis antara enam lelaki yang diberkas bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan di Gombak dalam kejadian 7.30 pagi pada 27 Februari lalu.
Kesemua suspek ditahan dalam operasi khas bermula 2 Mac lalu dan pemeriksaan mendapati salah seorang suspek awam yang ditahan mempunyai 20 rekod jenayah lampau. – UTUSAN










