JOHOR BAHRU: Seramai 2,018 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang Op Selamat 26 khususnya di 47 lokasi hotspot dan 38 lokasi blackspot yang telah dikenal pasti di Johor.
Langkah itu bagi memastikan kelancaran dan keselamatan awam sepanjang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, tumpuan utama pihaknya adalah melibatkan aspek pencegahan jenayah pecah rumah, meminimumkan kadar kemalangan serta memastikan kelancaran aliran trafik.
“Op Selamat 26 akan bermula esok hingga 24 Mac ini. Kekuatan di lapangan membabitkan 69 pegawai dan 663 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor bersama 168 pegawai dan 1,118 anggota daripada semua unit lain di Kontinjen Johor.
“Kami juga teruskan kolaborasi bersama agensi-agensi lain antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat 26 Hari Raya Aidilfitri 2026 Kontinjen Johor di sini hari ini.
Menurut Ab. Rahaman, tumpuan turut diberi kepada dua laluan utama pintu sempadan negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
“Kami jangka akan berlaku peningkatan sehingga 20 peratus jumlah kenderaan yang melalui pintu darat sempadan negara itu sepanjang tempoh perayaan.
“Pada masa sama 47 lokasi kerap berlaku kesesakan dan 38 lokasi kerap berlaku kemalangan telah dikenal pasti dan akan diberi tumpuan.
“Enam kesalahan utama dikesan iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi ketika memandu,” katanya. – UTUSAN










