PETALING JAYA: Permohonan MIC untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi gabungan itu pada Sabtu lalu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, surat rasmi itu akan diserahkan kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, malam ini.
“Kemasukan MIC diluluskan sejak Disember tahun lalu, namun pada mesyuarat PN Sabtu lalu, kita mengesahkan secara rasmi kemasukan parti berkenaan menjadikan lima parti anggota setakat ini,” katanya selepas Penyampaian Sumbangan Kepada Penggerak PAS Kota Bharu di Kelantan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin turut memaklumkan, lebih lima parti lain turut memohon untuk menyertai PN.
Katanya, permohonan itu menyaksikan pimpinan baru PN lebih inklusif memandangkan pelantikan jawatan diberikan adalah menyeluruh membabitkan pelbagai parti.
“Jika sebelum ini yang memegang jawatan adalah Pas dan Bersatu, namun kini menyeluruh. Malah MIC yang baru menyertai PN pun mungkin akan diberi jawatan,” katanya.-UTUSAN










