KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) menggunakan pendekatan musyawarah dalam menentukan pelantikan Ketua Pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia selaras dengan amalan yang diamalkan sebelum ini termasuk pelantikan Hamzah yang dibuat menerusi persetujuan bersama dalam PN.
“Ketika ini, hanya dua parti dalam PN yang mempunyai wakil di Parlimen iaitu Pas dan Bersatu. Jadi, perbincangan dibuat secara bersama antara kedua-dua pihak.
“Ini amalan biasa kita dan akan terus digunakan dalam menentukan kepimpinan, termasuk jawatan Ketua Pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, pendekatan berkenaan mencerminkan prinsip demokrasi dan konsensus yang menjadi teras dalam gabungan tersebut.
Katanya, PN juga akan mengambil pandangan Ahli Parlimen Pembangkang yang lain dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, keputusan berhubung perkara itu dijangka dimuktamadkan sebelum akhir bulan ini atau selewat-lewatnya sebelum persidangan Parlimen pada Jun depan.
Utusan Malaysia pada 14 Mac lalu melaporkan, PN memutuskan supaya seorang Ahli Parlimen daripada Pas untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang bagi menggantikan Ahli Parlimen Larut.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, nama pengganti jawatan Ketua Pembangkang itu akan diumumkan sebelum akhir bulan Mac ini.
Sebelum itu, Takiyuddin sedia menjalankan tugas sebagai ketua pembangkang sekiranya diberi mandat oleh Pas.
Beliau berkata, selagi tiada arahan daripada parti, perkara itu masih belum relevan.-UTUSAN











