‘Pisang ijo’ Makassar digemari masyarakat Tawau - Utusan Malaysia

‘Pisang ijo’ Makassar digemari masyarakat Tawau

HASBULLAH Baharuddin menghulurkan pisang ijo kepada pelanggannya di Bazar Ramadan Bataras, Tawau, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Bermula sekadar ingin mencuba nasib, usaha seorang anak muda membuahkan hasil apabila mencatatkan jualan sebanyak 20,000 bekas ‘pisang ijo’ dalam tempoh dua minggu Ramadan.

Hasbullah Baharuddin, 25, berkata, pisang ijo membawa maksud pisang hijau dalam bahasa Bugis yang merupakan hidangan tradisi masyarakat Makassar di Indonesia.

Katanya, pada awalnya dia sendiri tidak pasti akan pene­rimaan masyarakat Tawau terhadap hidangan yang sudah divariasikan mengikut cita rasa penduduk tempatan.

“Kami datang memang untuk tengok pasaran sahaja. Tidak pasti sama ada menu pisang ijo yang sudah divariasi ini boleh diterima atau tidak. Tetapi alhamdulillah, sambutan sangat memberangsangkan dan dapat jual 20,000 bekas.

“Kalau di Kota Kinabalu ramai pelanggan kami daripada golongan muda tapi di Tawau ini majoriti yang membeli adalah ibu bapa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bazar Ramadan Bataras di sini.

Hasbullah berkata, makanan tradisional itu begitu dekat de­ngan jiwanya sehingga tercetus idea untuk dijual kepada orang ramai.

“Ini resipi turun-temurun ibu saya. Setiap Ramadan memang jadi menu utama di rumah. Saya kekalkan cara ibu saya masak dan hanya tambah baik supaya lebih menarik untuk pasaran,” katanya.

Bahan utama manisan itu ialah pisang yang dibalut de­ngan adunan tepung berwarna hijau, kemudian dimasak secara kukus.

Adunan sum-sum putih pula diperbuat daripada campuran tepung dan air.

Hasbullah menampilkan variasi sum-sum pandan berwarna hijau dan diletakkan campuran seperti Milo, Nestum, jagung, kacang tanah dan kacang merah.

“Ramai yang jual pisau ijo, namun untuk versi yang saya jual, kami orang pertama yang buat variasi ini dan diterima orang ramai sehingga ada menginspirasi jualan saya kemudian buka perniagaan sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×