PETALING JAYA: Cubaan seorang lelaki menyamun sebuah kedai emas di sini pagi tadi gagal apabila dia maut ditembak pengawal keselamatan dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi.
Suspek yang dipercayai menaiki sebuah motosikal dikatakan masuk ke kedai emas berkenaan sebaik premis itu dibuka dan ketika tiada pelanggan.
Lelaki terbabit dilaporkan bersenjatakan objek tajam sebelum berlaku pergelutan dengan seorang pengawal keselamatan.
Seorang lagi pengawal keselamatan yang menyedari rakannya dicederakan kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah suspek.
Suspek yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Tiada sebarang kehilangan barang kemas direkodkan dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan perkembangan lanjut dijangka dimaklumkan dalam masa terdekat. – UTUSAN










